USIA 40’an: APAKAH KITA SEMAKIN AWET MUDA?

Kita sering mendengar ‘Kehidupan bermula pada umur 40 atau ‘Life begins at 40’. Ungkapan tersebut sering disalahertikan. Kononnya kehidupan bagi seseorang akan ‘bebas-lepas’ atau mulai boleh enjoy, mulai bergaya atau boleh ‘pasang badan’ dan ‘muda semula’ bermula umur 40 tahun? Memang tidak dapat dinafikan peringkat umur 40 ialah pada tahap mencapai umur matang dan tahap berfikiran yang stabil. Segala keputusan atau tindakan mahupun perbuatan yang bakal diambil hendaklah berdasarkan fikiran yang rational, bukan mengikut nafsu atau telunjuk orang lain. Sepatutnya apabila ia membuat sesuatu keputusan, maka keputusan itu semestinya yang mantap dan membawa impak yang ketara samada untuk diri sendiri, ahli keluarga mahupun masyarakat. Selalunya pemimpin atau ketua yang stabil dan berwibawa berumur 40 keatas.

Sebenarnya, secara fisiologi, tubuh badan manusia mulai ‘mereput’ dan merosot bermula ketika umur 40 tahun. Dikatakan mereput sebab ketika inilah badan kita mulai mengalami peroses degenerasi iaitu bermulanya sel-sel tubuh tidak begitu aktif, sistem ketahanan badan menurun serta perlahan dan penyakit mulai menyerang. Secara luarannya mata mulai kabur atau rabun, kulit mulai kendur, mudah lupa sesuatu dan rambut mulai ditumbuhi uban. Ada juga yang mengatakan umur sebegini ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’. Bagi pakar perubatan, usia 40 tahun keatas ialah peringkat umur yang mana sifat keremajaan seseorang sudah mulai hilang dan ia satu peringkat permulaan hari tua. Ini adalah titik bermulanya kurang produktif, keupayaan fizikal dan mental mulai menurun dan kesegaran semakin merosot.

Mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan tubuh bermaksud bilamana keadaan keupayaan fizikal, mental dan sosial tidak terbatas dan juga bebas daripada sebarangan penyakit dan gangguan (health as a state of unlimited physical, mental and social well being and not only as the absence of illness and handicaps). Satu takrifan kesihatan yang begitu ideal yang tidak mungkin terdapat pada diri seseorang yang berusia 40 keatas. Dan boleh juga diperkatakan untuk setiap individu yang hidup di abad ke 21 ini, di mana lapisan ozone semakin menipis dan alam sekitar serta punca makanan kian tercemar. Tambahan pula bila masa berlalu, usia seseorang terus bertambah dan keadaan tubuh badan kian merosot.

Keadaan penuaan dibahagikan kepada dua. Pertama, penuaan kronologi iaitu keadaan penuaan mengikut umur seseorang dikira dari tarikh lahir, misalnya berumur 69 tahun. Kedua, penuaan biologi iaitu tahap pengukuran mengikut keupayaan biologi badan, misalnya individu itu sudah berusia 75 tahun tetapi masih kelihatan segak dan muda dan keupayaan fizikalnya cergas kerana keadaan biologinya masih baik. Bagaimanapun, penjagaan kulit dengan menggunakan barangan kecantikan hanya satu strategi awet muda berbentuk luaran (superficial) sahaja.

Jangka Hayat Penduduk Malaysia
Bersyukurlah dengan tahap kemajuan yang kita capai hari ini jangka hayat penduduk Malaysia semakin meningkat (sila lihat jadual 1.0). Usia kaum perempuan melebihi lelaki. Kaum lelaki lebih terdedah kepada jenis pekerjaan yang berisiko tinggi dan keadaan tertekan (stress). Sejak 1980 hingga 2000 usia lelaki dan perempuan masing-masing bertambah daripada 66.7 ke 69.4 dan 71.6 ke 74.2 tahun. Faktor penyumbang keadaan tersebut mungkin disebabkan oleh tahap sosial-ekonomi yang lebih baik dan kesedaran penjagaan kesihatan kalangan rakyat Malaysia sendiri.



Masalah Penjagaan Kesihatan
Persoalannya, apakah usia yang semakin lanjut tersebut diikuti pula dengan kesihatan tubuh yang sihat dan masih awet muda? Sebaliknya kes-kes morbiditi (penerima rawatan di hospital / klinik kerajaan mahupun swasta) menunjukkan peningkatan. Tahun 1980 terdapat 19,724,566 kes morbiditi, pada 1990 ke 25,114,662 kes dan 1997 melonjak kepada 28,722,416 kes (Tajaruddin, 2000). Dijangkakan kes-kes morbiditi akan terus meningkat pada masa kehadapan. Kebanyakan kes morbiditi terdiri daripada kalangan yang berusia 40 keatas. Oleh itu kerajaan terpaksa membelanjakan ratusan juta ringgit setiap tahun bagi penjagaan dan rawatan kesihatan bagi kumpulan tersebut.

Apa yang lebih penting dititikberatkan oleh golongan tua ialah menjaga serta mengurus kesihatan mereka secara berterusan. Apakah mereka ingin menderita seperti berulangalik ke klinik/hospital, memakan ubat dan rasa resah gelisah sehingga penghujung hayat? Katakanlah seseorang itu dijangkiti atau mengidap sesuatu penyakit kronik ketika berumur 50 tahun dan andaikan ia mencapai umur purata jangkahayat penduduk Malaysia 70 tahun. Ini bermakna seseorang tersebut akan menderita selama 20 tahun lagi! Bayangkan berapa banyak perbelanjaan kesihatan dan penderitaan yang terpaksa dia tanggong selama 20 tahun tersebut? Berapa banyak pula orang-orang yang berhampiran dengannya terutama ahli keluarga yang turut ‘menumpang’ menderita dan kesusahan serta ‘air mata’ yang terpaksa dikeluarkan? Kos lepas (opportunity cost) yang terpaksa dilepaskan selama 20 tahun terlalu banyak; menjadi sia-sia, satu pembaziran dan tidak produktif.

Pencarian Awet Muda
Kelihatan muda jelita adalah idaman semua orang. Tidak mengira sesiapa atau mana-mana individu, ingin hidup muda dan cergas seberapa lama yang boleh atau kalau boleh akan kelihatan muda selama-lamanya hingga akhir hayat. Banyak usaha dan tenaga dicurahkan kearah mencapai matlamat tersebut. Bagaimanapun, hukum alam tidak mengizinkan, ia akan luntur (tua) mengikut masa dan tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Setelah umur seseorang menjangkau 40 tahun, kejelitaan wajah semakin pudar dan kemerosotan keupayaan fizikal, mental semakin ketara dan keadaan sistem imun tubuh semakin lemah menyebabkan individu tua begitu mudah dihinggapi penyakit (Hassan Yaakob, Berita Harian 21/02/2001). Kita tidak patut perlu bimbang atau panic setelah melepasi usia 40 tahun. Kita harus bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana memanjangkan umur dan memperolehi nikmat yang banyak serta melimpah ruah kerana rahmatNya.

Remedi atau cara-cara mengatasinya memang banyak, seperti menjalani kehidupan yang sihat seumpama tidak merokok, selalu bersenam dan bersukan, memakan makanan yang baik dan berkhasiat serta yang bebas daripada pencemaran dan berfikiran positif terhadap kehidupan. Memilih ubatan tanpa dadah dan rawatan semulajadi (non-drug and natural cure) adalah alternatif yang lebih baik. Yang lebih penting ialah gaya hidup (life style). Ia sangat besar pengaruhnya terhadap kesihatan golongan tua. Kebanyakan penyebab kematian masalah jantung, kanser dan stroke berpunca daripada gaya hidup seseorang. Misalnya, masalah kronik paru-paru tersumbat ada hubungkait yang rapat dengan tabiat amalan merokok. Antara 2 daripada 10 sebab utama kemasukan ke hospital kerajaan iaitu penyakit aliran darah dan masalah pernafasan dimonopoli oleh golongan tua (Kementerian Kesihatan, 1999).

Adalah dipercayai dengan kemajuan ilmu sains dan teknologi hari ini, manusia telah menemui beberapa kaedah yang boleh melambatkan atau menundakan sadikit peroses penuaan tersebut yang selalu dikenali sebagai awet muda. Pelbagai kaedah, ubatan, jamu atau ramuan dirumuskan bagi mencapai tujuan kearah awet muda. Penyelidikan anti-penuaan (anti-aging) begitu aktif dilakukan sejak pertengahan 90’an. Di Amerika, Akademi Anti-Aging ditubuhkan pada tahun 1993, yang menemukan beberapa agen farmakologi digunakan sebagai anti-penuaan. Beberapa jenis terapi turut digunakan antaranya kombinasi hormon bersama zat pemakanan, bahan anti-oksidan, peroses detoxification serta pelbagai vitamin, garam-garam galian dan tumbuhan herba semulajadi dieksploitasikan. Hasilnya, di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Jepun, ia bukanlah satu perkara yang menghairankan dan aneh apabila melihat seseorang yang berusia 80 atau 90 tahun tetapi masih berbadan tegap dan mampu menjalankan kegiatan fizikal dan bekerja aktif dan boleh menyumbang secara produktif seperti melakukan kerja-kerja kebajikan dan menganggotai badan-badan sukarelawan.

Malaysia Boleh
Di Malaysia kesedaran tentang trend awet muda tidak kurang juga hebatnya. Berbagai petua dan amalan didedahkan melalui media cetak tentang pelbagai khasiat ramuan tradisional dan terapi moden serta produk tentang penjagaan badan awet muda supaya kelihatan sentiasa menawan, jelita dan bergaya. Kaedah moden dan saintifik menggunakan pelbagai peralatan dan jenama telah ada di pasaran sekarang ini – ‘tepuk dada, tanya selera’. Daripada penemuan herba Tongkat Ali, khasiat pergaga, peralatan gymnasium dan hinggalah ke beberapa tonik dan ubatan yang dikatakan boleh membawa ke arah awet muda mendapat sambutan yang menggalakkan. Beberapa syarikat telah mengorak langkah mengambil kesempatan daripada penemuan ini dan sedang mengaut keuntungan yang besar.

Maklumat-maklumat penemuan terkini begitu senang diperolehi dengan kemudahan teknologi maklumat (IT) – media cetak atau eletronik. Berserta dengan peningkatan tahap pelajaran dan taraf hidup penduduk negara kita maka kesedaran dikalangan mereka tentang penjagaan kesihatan kian meningkat. Kearah masyarakat sihat dan bahagia, rakyat Malaysia juga mampu melakukan apa yang rakyat negara maju lakukan. Kita mahu maju bersama dengan kemajuan masyarakat yang sihat. Kita mahu menuju Wawasan 2020 bersama rakyat yang sihat, aktif dan produktif.

Tajaruddin Jasi

Telah diterbit dalam MASSA, 16 – 22 JUN 2001