ANDA ADALAH APA YANG ANDA MAKAN

Apa yang anda makan akan menjadi ‘darah daging’ anda. Jadi benarlah apa yang anda makan akan jelmalah diri anda. Jika baik yang anda makan, maka anda akan menjadi baik akhirnya. Jika sebaliknya, maka padahlah diri anda. Tentunya anda pernah mengalami sakit perut sekembali daripada jamuan kenduri atau jamuan nikah kahwin. Kenapa? Tentunya makanan yang anda makan tersebut telah tercemar atau ‘ telah tidak baik’ dan akibatnya perut anda memulas dan berlakulah ceretberit dan terpaksa pergi mencari rawatan yang menyusahkan dan membebankan anda.

Pada setiap hujung minggu, terutamanya pada awal bulan, ketua keluarga akan membawa anak-anak pergi membeli-belah dan makan-minum ‘di luar’. Selalunya mereka akan mengikut ‘kehendak’ anak-anak dan membeli segala apa saja seperti makanan snack, ais kream, chokelat, biskut, buah jeruk, minuman botol atau tin dan seumpamanya. Bila makan, tempat yang menjadi pilihan atau kegemaran ialah ‘fast food’’ seperti McDonald, Kentucky Fried Chicken dan King Burger. Sebab utama berbuat demikian ialah ringkas, cepat, selesa dan menyelerakan. Faktor khasiat makanan dan nilai pemakanan jarang atau tidak pernah diambilkira. Senario ini seolah-olah menjadi trend budaya masyarakat bandaran negara kita. Pengaruh media massa dan teknologi maklumat mungkin mempengaruhi trend budaya yang disebutkan di atas akan menjalar ke masyarakat desa pula kemudian.

Begitu juga apabila di dapur, si ibu akan memasak apa sahaja yang si anak suka – ikutkan selera. Kueh-mueh yang penuh berkrim, bubur yang manis, air kordial yang berbagai perasa dan warna, masakan ikan atau daging yang beranika jenis dan gaya, nasi minyak, nasi kerabu, dan berbagai lagi sebagai pilihan utama seisi keluarga. Semuanya indah dan sedap serta membuka selera untuk memakananya. Buku-buku resepi makanan turut menyajikan pelbagai citarasa masakan ala tradisinol, barat dan sebagainya. Siaran media TV tidak kurang hebatnya dengan penampilan beberapa orang chef yang terkenal dan hebat-hebat. Sogokan media ini sudah tentu menarik ramai peminat dan suri rumah untuk mencuba dan memikat ‘hati’ suami serta anak-anak. Inilah yang dikatakan gaya-hidup mengikut zaman. Kempen kurangkan gula dan kolesterol semacam satu hiburan sahaja seperti drama-drama dan lain-lain slot di TV atau iklan di paparan akhbar.
Jikalau berlaku keracunan makanan di kantin sekolah atau di mana-mana sahaja, reakasinya tidaklah lama. Rasa panik dan bimbang hanya sementara waktu sahaja. Yang sibuk hanyalah kakitangan Jabatan Kesihatan yang terpaksa mengawasi suasana dan keadaan. Operator-operator makanan seperti restoren-restoren dan gerai-gerai terus-menerus menyediakan makanan yang menyelerakan kehendak ramai. Mungkin ini strategi pemasaran yang paling berkesan – mengikut kehendak/selera pengguna. Pelanggan mesti diutamakan. Mutu dan nilai, mungkin juga kebersihan makanan diabaikan. Apa yang mereka sediakan, itulah apa yang anda makan.

Makanan adalah salah satu daripada sumber untuk hidup. Secara logik tanpa makanan seseorang akan mati. Ada yang mengatakan hidup untuk makan atau sebaliknya makan untuk hidup. Walaupun apa pun diperkatakan, makanan sangat penting dalam kehidupan harian anda. Hampir semua keperluan tubuh diperolehi melalui makanan. Keperluan glukosa (tenaga), protin (amino asid), lemak, garam galian, vitamin, serat (fibre) dan air – semuanya bersumberkan daripada makanan.

Manusia kini makin sibuk. Kebanyakan mereka tidak mempunyai masa memikirkan apa yang mereka makan. Bagi yang bekerjaya suami isteri, makan di luar (eating outside) macam suatu kemestian. Selalunya mereka memakan mengikut selera, apa yang sedap itulah menjadi pilihan. Jarang sekali memikirkan sama ada apakah itu baik atau tidak baik untuk kesihatan tubuh badan mereka. Pilihan lauk-pauk – ikan, daging dan telor yang menyelerakan menjadi keutamaan berbanding sayuran dan ulaman.

Diketahui umum bahawa hasilan ternakan seperti telur, ikan dan daging mengandungi kolesterol sedangkan makanan daripada tumbuhan seperti sayuran dan bijiran tidak mengandungi kolesterol (Mediconsult 1999). Kolesterol hasilan ternakan akan membina low density lipid (LDH), sejenis lemak yang sukar dikumuhkan oleh sistem tubuh dan sangat merbahaya kepada kesihatan dalam jangkamasa panjang. Kandungan kolesterol yang tinggi, terutama dari kalangan LDH, boleh menyebabkan banyak komplikasi kesihatan tubuh. Antaranya ialah kegemukan. Kegemukan (obesity) adalah berkait rapat dengan kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah dan seterusnya boleh menyebabkan masalah kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan stroke [sila rujuk kembali bab kegemukan dan akibatnya].

Lapuran Kementerian Kesihatan (Berita Harian 20/11/200), bahawa pesakit diabetes meningkat 30% sejak 1990 ke 1998 iaitu daripada 19,563 ke 25,318 pesakit, kerana amalan pemakanan yang tidak sihat. Corak pemakanan yang tidak sihat ialah yang mengikut selera dan rasa tanpa memikirkan khasiat serta nilai makanan yang dimakan.

Paras kolesterol dalam darah sebahagian besar daripadanya dipengaruhi pengambilan makanan berlemak (saturated fat). Makan berkolesterol tinggi, cara pemakanan tidak betul (poor eating habits), meminum minuman keras (alcohol) dan penyalahgunaan dadah adalah antara gaya hidup yang tidak baik diamalkan oleh masyarakat moden (Tajaruddin 2000). Apabila anda memakan makanan tersebut, seolah-olah anda mengundang komplikasi penyakit yang disebutkan tadi.

Gula memang manis. Yang manis pada lazimnya memikat selera. Jika dimakan berlebihan akan membawa padah. Gula pada akhirnya akan menjadi ‘racun’ pula. Memakan makanan yang mengandungi tinggi gula dan garam bertapis (refined sugar & salt) serta makanan banyak kandungan gula (high sugar contained food) boleh menjadi punca penyakit kronik yang berpanjangan. Gula yang berlebihan dalam badan akhirnya akan ditukar dalam bentuk lemak. Tambahan pula hampir kebanyakan makanan yang diperoses dan ditin (canned) banyak mengandungi gula dan garam. Bukan itu sahaja, ia juga turut ditambah bahan-bahan pengawet, pewarna dan pengstabil (stabilizer) yang langsung tidak diperlukan oleh tubuh anda dan akan di simpan oleh tubuh sebagai bahan toksid. Trend peningkatan kegemaran menikmati makanan segera yang kelihatan ‘bersih dan sihat’ tetapi banyak mengandungi bahan-bahan kurang berzat dan tidak sihat adalah sangat mendukacitakan. Akhirnya, kemanakah bahan-bahan itu pergi atau di simpan? Ia akan menjadi bahan toksid dan bercampur gaul dengan lemak di dalam tisu-tisu serta organ-organ tubuh. Jadi kurangkan pengambilan garam dan gula yang berlebihan.

Pepatah yang mengatakan “anda adalah apa yang anda makan” memang ada kebenarannya. Kalau anda memakan makanan yang berkelosterol tinggi, maka banyaklah kandungan kolesterol dalam badan anda. Kolesterol yang berlebihan boleh penyebab masalah jantung. Begitu juga, kalau anda memakan makanan yang tinggi kandungan gula maka lambat laun akan tinggilah kandungan gula dalam tubuh anda. Gula berlebihan boleh menyebabkan kencing manis. Badan kita atau lebih tepat lagi perut kita bukanlah seperti bakul sampah yang boleh dimuatkan dengan apa-apa sahaja yang kita selerakan.

Makanan mempunyai pengaruh hampir 70% daripada penyakit tubuh anda. Kalau anda ‘menjaga’ pengambilan makanan yang betul dan sihat, anda dapat ‘menjauhi’ hampir 70% masalah kesihatan anda. Sabda Nabi Muhammaad S.A.W. ‘sembilan daripada sepuluh penyakit berpunca daripada perut’. Maksud perut itu ialah makanan. Allah sendiri menyuruh manusia memilih makanan yang baik-baik. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah (ayat 172) bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada yang baik-baik apa yang telah kami kurniakan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jikalau memang hanya kepadaNya kamu menyembah”. Begitu sekali penting menjaga pengambilan makanan yang baik-baik.

Apa-apa makanan yang disumbatkan kedalam perut akan melalui berbagai-bagai tindakbalas kimia yang kompleks. Seterusnya mana-mana bahan komponen makanan yang tidak boleh dihadzam (digunakan oleh tubuh) dan dikumuh oleh mekanisma tubuh akan disimpan dalam badan sebagai sisa. Sisa itu tadi lama kelamaan akan mereput dan bertukar menjadi bahan toksid tubuh. Dan toksid tubuh itu tadi akan diluahkan atau dijelmakan dalam bentuk yang dipanggil sakit atau penyakit. Pada peringkat awalnya penyakit itu disemboyankan dalam bentuk seperti pening kepala, sengal-sengal badan, bisa-bisa tulang, sakit urat dan lemah tubuh-badan. Akhirnya semboyan tersebut akan membentuk keadaan yang lebih kronik seperti kanser, kencing manis, masalah jantung, kegagalan buah pinggang, gout, gastrik, batu karang dan berbagai lagi. Pada peringkat ini sudah terlambat atau terlewat. Kos rawatan pada peringkat ini mungkin sangat tinggi.

Oleh itu pemilihan makanan yang betul dan sesuai dengan keperluan tubuh sangat mustahak dan penting. Sekurang-kurangnya mengikut sebagaimana dalam piramid makanan. Banyak diperkatakan samada dalam media cetak atau siaran, mungkin juga ramai yang ‘berpengetahuan’ dalam bidang makanan tetapi tidak mengamalkannya kerana terlalu mengikut selera makan sebagaimana yang saya sebutkan diatas tadi.

Sebagai panduan saya perturunkan cara-cara pemilihan makanan yang sihat dan berkhasiat. Yang penting displinkan diri sendiri dalam membuat pilihan makanan yang baik. Tanpa displin semuanya tidak menjadi, termasukalah dalam penjagaan kesihatan.
Antaranya adalah seperti berikut:
· Makan banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan bijiran
· Kurangkan pengambilan hasilan ternakan dan makanan berlemak
· Tingkatkan makanan yang berserat (fibre) dan berkanji (starchy).
· Kurangkan gula, makanan yang diperoses, minuman ringan dan makanan segera.
· Ambil perhatian terhadap makanan yang mengandungi tinggi karbohaidrat, berserat dan bervitamin tinggi seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijiran.
· Sentiasa pilih makanan yang segar seperti ulam-ulaman dan yang baru dimasak dan segar.
· Masaklah makan sendiri (jika boleh), kerana tahap kebesihan dan kesegaran boleh dikawal dan dikenalpasti.
· Banyakkan minum air bersih.