Makanan Kesihatan: Kebaikan Untuk Semua

Dalam kita menghadapi kesibukan tugas harian rumah-tangga atau pejabat, kebanyakan kaum wanita khususnya para surirumah agak sukar mengenalpasti atau memilih makanan yang baik untuk seisi keluarga. Bagi suami-isteri yang berkerjaya makan di luar sering menjadi pilihan utama kecuali pada hujung minggu atau hari cuti. Ketua keluarga atau orang yang membuat keputusan memilih makanan sangat penting bagi menjamin tahap kesihatan ahli keluarga. Pilihan yang bijak ialah makanan yang berkhasiat yang mempunyai nilai-nilai kesihatan bukan makanan yang lazat dan mengikut kehendak selera. Anda adalah apa yang anda makan (you are what you eat). Baik yang anda makan, maka sihatlah tubuh anda.

Makanan kesihatan adalah makanan yang menyediakan atau membekalkan keperluan tubuh yang boleh meningkatkan tahap kesihatan dan mencapai cegahan kejadian atau serangan sesuatu penyakit. Makanan kesihatan kadang-kadang dilabelkan sebagai makanan lengkap, makanan berfungsi atau makanan farmasi. Mengikut Jean Carper (1988), dalam bukunya The Food Pharmacy, mengatakan makanan kesihatan adalah makanan yang dipenuhi dengan agen-agen farmakologikal dan bertindak sebagai bahan ubatan dalam tubuh dan beliau turut menjangkakan manusia masa hadapan akan menggunakan lebih banyak sumber makanan dan mengurangkan penggunaan ubat-ubatan bagi menjaga kesihatan.

Sebenarnya, makanan kesihatan bergantung banyak kepada bahan-bahan aktif biologi yang terdapat di dalam makanan tersebut yang boleh memberi kesan peningkatan kesihatan atau kecergasan seseorang. Antara bahan-bahan tersebut adalah protein, serat, vitamin, antioksidan, karotenoid, garam galian, asid lemah tak tepu, phytokimia, alkaloid, glikosid, karbohidrat (tenaga) dan berbagai lagi bahan kultur aktif terkandung di dalam makanan kesihatan. Semua bahan-bahan tersebut akan dan serta boleh membantu peroses seperti tumbesar tubuh, keseimbangan sistem metabolisma dan bertindak menguatkan sistem ketahanan tubuh bagi melawan daripada serangan atau jangkitan penyakit tertentu.

Pilihan Makanan Kesihatan
Yang pasti makanan yang segar dan semulajadi mempunyai nilai kesihatan yang lebih tinggi berbanding makanan yang diperoses. Kebaikan semulajadi adalah yang terbaik (nature is the best). Penggunaan racun kimia dalam industri pertanian (seperti baja, racun serangga & kulat) dan berbagai kimia dalam penyediaan makanan peroses (seperti bahan awetan & pewarna) menghantui dalam pemilihan makanan kesihatan. Membaca label, syarikat pengeluar dan ramuan atau kandungan (ingredients) makanan sangat mustahak dilakukan sebelum membeli sesuatu produk makanan kesihatan. Pastikan keselamatan mengatasi segala-segalanya.

Pada umumnya makanan yang berserat boleh mengurangkan masalah penyakit perut serta usus termasuk sembelit, mengawal kolesterol dan gula, dan lemak dalam darah. Sumber makanan yang tinggi garam galian boleh mengatasi kepucatan dan sistem baikpulih tubuh. Sumber protein boleh menggantikan sel-sel atau tisu-tisu yang rosak manakala peranan vitamin membantu mengelakkan pelbagai komplikasi penyakit seperti penyakit kekeringan kulit (dry, flaky or scaly) boleh diatasi dengan pengambilan vitamin E dan bibir merekah dengan vitamin C.

Untuk masalah rabun malam memerlukan banyak vitamin A yang sumbernya ialah minyak sawit, telur kunung dan sayuran hijau. Begitu juga fungsi vitamin B boleh mengatasi masalah keletihan, kurang selera makan dengan memakan makanan kekacang, daging, susu, sayuran serta buahan. Osteoporosis boleh dicegah dengan makanan yang tinggi kandungan garam galian kalsium. Masalah tekanan darah tinggi boleh dikurangkan dengan pemakanan yang mengandungi bahan kompleks omega.

Ulaman tradisi seperti ulam raja, petai, pucuk gajus dan pegaga mempunyai bahan antioksidan atau aktiviti pembersihan tubuh (detoxification) yang sangat tinggi (sila lihat rajah 1), kebanyakannya mempunyai aktiviti pembersihan melebihi 80%. Peroses pembersihan tubuh boleh mengeluarkan bahan kotoran akibat daripada pelbagai aktiviti metabolisma tubuh; dan ini akan membolehkan sistem tubuh menjadi bersih serta menjalankan fungsinya dengan lancar dan cekap. Memakan ulaman adalah amalan yang sangat baik untuk penjagaan kesihatan jangka panjang. Ulam biasanya dimakan segar dan mentah, ianya mengandungi bahan semulajadi yang boleh diterima serap oleh tubuh dengan baik. Pihak FAMA (agensi pemasaran komoditi pertanian) pernah mengadakan kempen memakan ulam sebagai sumber makanan kesihatan pada awal 1990’an.


Nilai Kesihatan
Bagaimana nama ‘makanan kesihatan’ boleh timbul? Apakah sesuatu yang kita makan itu tidak sihat? Apa yang meng’gerak’kan penerimaan makanan kesihatan apabila terbukti sesuatu makanan boleh meningkatkan kesihatan tubuh secara normal dan semulajadi tanpa bergantung kepada ubatan dan tiada memberi kesan sampingan negatif terhadap tubuh. Nilai tubuh yang sihat tiada bandingan dengan nilai kebendaan. Kekayaan kebendaan tidak semestinya dituruti dengan kekayaan kesihatan. Kesihatan tubuh bukan tukaran wang-ringgit atau dengan intan-berlian. Ada yang mengatakan ‘Apa wang boleh beli? Wang boleh beli ubatan tetapi tidak boleh beli kesihatan’. Makanan kesihatan sepatutnya selamat dimakan dan tidak memudaratkan tubuh.

Orang yang mengamalkan pemakanan kesihatan akan mengalami kurang masalah kesihatan dan kehidupan mereka lebih ceria. Ia sokongan pula dengan ujian-ujian klinikal yang boleh membantu mengurangkan penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, sakit dalam perut dan pembekal tenaga batin

Kalau gula dikatakan merbahayakan kesihatan, maka sekarang ini sudah ada minuman manis tanpa gula (sugar-free drink) dan minuman tanpa kafin. Dalam pasaran sudah banyak barangan yang ditambah nilai kesihatan, seperti diperkaya (enriched) dengan vitamin atau bahan tertentu, bebas kolesterol dan tanpa bahan awet dan tiruan. Pilihan ditangan pengguna sendiri.

Aspek-aspek yang perlu diambilkira dan perhatian sewajarnya dalam memilih makanan kesihatan ialah:
· Kebersihan: tahap dan mutu
Walaupun semua orang tahu kepentingan kebersihan tetapi kerap diabaikan seperti keadaan terdesak, kesuntukan masa dan kesibukan tugas. Sepatutnya tahap dan mutu kebersihan mengatasi segala-galanya.
· Kandungan (ingredients)
Bacalah dengan teliti dan faham akan segala kandungan makanan dan kalau perlu cara-cara menggunakannya.
· Kesegaran / Keaslian / Ketulinan
Pilihlah hanya yang segar, asli dan tulin kerana ini menandakan tahap kualiti makanan. Makanan berkualiti, makanan berkhasiat dan makanan kesihatan.

· Keselamatan – keracunan, kandungan bahan kimia & tahap pencemaran
Faktor ini harus mendapat perhatian yang serious sekali kerana tersilap pilih akan membawa padah kepada diri sendiri dan ahli keluarga. Bahan-bahan ‘preservative and additive’ yang berlebihan perlu dielakkan.
· Punca asal sumber / Pengeluar barangan makanan
Adalah lebih elok kalau diketahui dari mana sumber punca makanan tersebut dihasilkan
· Yang kurang lemak / kolesterol
Makanan berlemak / berkolesterol tinggi memang merbahayakan kesihatan. Makanan bersumberkan haiwan mengandungi kolesterol yang
tinggi berbanding bersumberkan tumbuhan seperti sayuran, buahan serta ulaman.
· Banyakkan pemakanan sayuran dan buahan
Yang paling baik ialah membanyakkan memakan sayuran dan buahan kerana ia mengandungi bahan semulajadi yang sangat diperlukan oleh tubuh bagi menjana kesihatan dan disamping membekalkan serat yang
boleh menyerapkan lebihan lemak tubuh.
· Tarikh luput (expired date)
Ini juga kerap diabaikan oleh pengguna. Tentukan setiap makanan yang dibeli pada masa dan tahap yang boleh digunakan lagi.
· Jangan terpengaruh dengan iklan atau jurujual
Ramai orang tanpa berfikir selalunya terpengaruh dengan daya tarikan iklan atau jurujual yang petah bercakap. Fikirkan secara waras apa yang diiklankan atau diperkatakan oleh media atau jurujual barangan tersebut.
· Kurangkan makan di luar
Maksud makan di luar ialah makan di gerai atau di restoren kerana kebanyakan operator gerai / restoren dalam penyediaan makanan dari segi mutu dan kebersihan diragui. Kalau perlu pilihlah tempat yang diyakini keselamatannya. Makan di rumah, masakan sendiri adalah lebih elok.

· Kurangkan gula dan garam terutama yang putih-bertapis (white-refined sugar & salt).
Kurangkan pengambilan makanan yang mengadungi tinggi gula dan garam bertapis kerana gula dan garam yang berlebihan boleh menjadi punca pelbagai penyakit kronik seperti kegemukan dan darah tinggi.
· Selalu memakan makanan yang mempunyai bahan antimikrobial (anti microbial).
Bahan antimikrobial bertindak melawan banyak jenis bakteria, fungi, parasit dan virus. Bawang putih (garlic) mempunyai tinggi kandungan antimikrobial, sangat baik dimakan selalu, terutama dalambentuk jus. Kunyit boleh melegakan usus dan bengkak-bengkak dalaman. Halia yang mempunyai lebih daripada empat ratus bahan kimia aktif (Leo Galland, 1997) boleh menolong banyak masalah penghadazaman dan melawan parasit dalam usus.
· Ikuti garis panduan piramid pemakanan
Panduan piramid pemakanan adalah satu panduan carta kelompuk makanan mana yang sepatutnya dimakan lebih banyak daripada yang lain. Sesiapa yang ada kemudahan internet boleh melayari laman web http://nutriweb.org.my/, yang direkabentuk khusus untuk penduduk Malaysia.