MARATHON: Satu Kaedah Mencapai Kesihatan Maksimum

Berjalan adalah sebaik-baik senaman tubuh. Berjalan pantas lagi lebih baik. Jika ada kemampuan dan tidak menyakitkan badan cubalah berlari. Dengan berlari lebih banyak aktiviti tubuh luaran dan dalaman dapat digerakkan. Menggerakkan anggota badan sekurang-kurangnya selama 30 minit sehari adalah penting bagi mencapai tahap kesihatan seseorang. Bilamana berkurangan gerak tubuh-anggota luaran maka berkurangan jugalah aktiviti atau gerakbalas anggota dalaman tubuh. Bila ini terjadi, terutama dalam jangkamasa panjang dan diburukkan lagi dengan gaya-hidup (life-style) yang kurang sihat, maka berlakulah himpunan lemak dan bahan toksid tubuh dan akhirnya boleh menimbulkan berbagai gejala sakit atau penyakit. Bermula daripada pening-pening kepala hinggalah kepada yang kronik seperti kencing manis, barah dan sebagainya.

Berjalan atau berlari di kawasan lapang seperti di taman rekreasi atau di kebun dengan dikelilingi pokok tumbuhan menghijau serta udara segar sangat baik untuk tubuh bagi mendapat bekalan oksigen yang sangat-sangat diperlukan oleh tubuh setelah seharian bekerja, terutama bagi mereka yang bekerja dalam bilik-bilik pejabat tertutup serta berhawa dingin. Bekalan oksigen yang secukupnya sangat penting bagi kelangsungan aktiviti tubuh seperti menghadzaman makanan, metabolisma tubuh dan sistem perkumuhan. Aktiviti berlari atau berjalan secara langsung menggerakkan seluruh anggota luaran seperti kaki serta tangan dan dalam beberapa minit tubuh akan merasa ‘panas’ dan sebentar lagi peluh akan keluar mercik daripada liang-liang permukaan kulit. Ini tandanya bermula satu proses perkumuhan (membuang kotoran/toksid tubuh), iaitu faedah secara langsung atau serta merta daripada aktiviti tersebut.

Marathon bermaksud berlari pantas dalam jarak yang agak jauh, umpamanya melebihi 5KM bagi menguji dayatahan dan ketahanan (test of endurance and stamina). Aktiviti marathon memerlukan latihan sebelum boleh melakukanya secara lebih agresif. Adalah dinasihatkan seseorang yang mengidap penyakit seperti darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis tidak digalakkan melakukan aktiviti marathon secara mengejut. Buruk akibatnya. Latihan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan seseorang adalah digalakkan. Marathon dikenali juga dengan berbagai nama antaranya larian, cross country, fun run, big walk, yang jaraknya antara 3 KM hingga 12 KM, dan half & full marathon masing-masing jarak 21.1 KM dan 42.2 KM. Ada juga mendaki tangga dikenali saperti tangga-thon dan tangga menara, towerthon seperti Menara KL.

Aktiviti Marathon
Sepanjang tahun di negara kita ini ada sahaja aktiviti marathon dianjurkan. Di Lembah Klang ada KL Marathon, Power Run, Hong Leong Charity Run, PJ-Half, Subang Jaya Run, Larian Batu Cave & Tanggathon, Larian Mesra Polis KL, dan di luar Lembah Klang ada Penang International Run, Ipoh Half-International Run, Johor-Singapore Run, , Larian Terengganu, Seremban Half, Klang-Half, anjuran pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta, sekolah-sekolah menengah dan rendah, persatuan-persatuan sukan dan belum lagi dikira yang dianjurkan oleh parti-parti politik, badan kerajaan dan berkanun, syarikat-syarikat swasta, badan-badan NGO dan amal/sukarela. Antara larian sepanjang tahun 2003 yang dipetik sebahagian daripada aktiviti Kelab Pacesetters Malaysia keluaran Jan-Feb 2003, seperti dalam Jadual 1.0. Walaubagaimana pun banyak lagi larian-larian lain turut dianjurkan mengikut penganjur dan penajaan. Pendek kata hampir setiap minggu atau bulan ada saja mana-mana pihak yang menganjurkan aktiviti sihat seperti ini. Acara marathon cuma menguji ketahanan tetapi yang lebih penting ialah natijah kesihatan akibat daripada latihan tersebut. Pada setiap kali upacara marathon diadakan, ia umpama satu pesta rakyat kerana penyertaannya mencecah ribuan peserta. Penang International Run disertai lebih 15,000 pelari. Antara ‘public figure’ yang terus mengamalkan aktiviti larian ialah Prof Diraja Ungku Aziz yang berumur 81 tahun (pada 28/20/03), masih sihat dan produktif. Bagaimana penyertaan anda dan pilihan adalah ditangan anda sendiri!



Faedah Marathon
Semua aktiviti sukan seprti marathon ini mahukan rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang sihat - Malaysia Sihat. Aktiviti marathon adalah sukan paling murah untuk diceburi oleh sesiapa pun. Ia tidak memerlukan peralatan yang mahal seperti perkakas atau persiapan yang berharga. Ia hanya perlukan Baju-T, seluar dan kasut sukan mengikut kemampuan. Tempat khusus saperti padang atau kawasan tertentu juga tidak diperlukan. Ia adalah satu aktiviti bebas yang boleh dilakukan di mana-mana samaada di kawasan perumahan, tanah lapang, taman rekreasi, padang sekolah dan ia satu acara bebas mengikut kebolehan dan kemampuan individu. Yang penting melakukan aktiviti senaman ini daripada beberapa minit hinggalah beberapa jam. Semua peringkat umor boleh menyertainya asalkan ada kemahuan serta keinginan mahu sihat.


Daripada pemerhatian penulis, juga seorang pelari, marathon disertai dari yang berumor 13 hingga 17 peringkat sekolah dan 18 tahun keatas ada yang berumur melebihi 70 tahun peringkat dewasa. Tidak ketinggalan juga penyertaan orang-orang kurang upaya seperti cacat anggota dan penglihatan, selalunya golongan ini akan dikenakan pada jarak yang lebih pendek iaitu 3 - 5 KM. Pernah penulis berjumpa seorang lelaki senior veteran berumor 68 tahun menyertai marathon, masih tegap dan sihat. Daripada beberapa orang veteran men yang ditemui kebanyakan mereka melebihi umor 50’an, semua mengatakan penyertaan mereka dalam larian tujuan utama ialah kesihatan, untuk mendapat hadiah adalah nombor dua atau tiga. Antaranya ada yang telah menyertai acara ini sejak 30 tahun lepas! Kebanyakan mereka tidak mengalami banyak masalah kesihatan. Ada diantara mereka pernah mengalami kesihatan tetapi setelah menyertai program marathon masalah kesihatan dapat diatasi dan kehidupan lebih ceria. Pernah juga diantara mereka mengidap batu karang, darah tinggi (belum serious), masalah dalam perut akan hilang/pulih sepenuhnya dengan aktiviti marathon. Jarang sekali diantara mereka pergi ke klinik mahupun hospital setelah menyertai aktiviti ini, sebabnya ialah badan mereka sihat.

Mengapa mereka sihat? Jawapanya ialah apabila seseorang berjalan atau berlari, aktiviti jantung akan meningkat. Peningkatan aktiviti jantung akan meningkatkan aliran darah kemerata tubuh. Tubuh memang perlukan aliran darah yang lancar agar apa-apa keperluan tubuh dapat dipenuhi secepat mungkin. Kelembaban pengaliran darah menyebabkan kelembaban aktiviti sel atau organ yang terlibat. Tubuh perlukan berbagai elemen yang telah dihadam oleh tubuh seperti asid amino, bahan tenaga (glukosa), ion-ion garam tubuh dan vitamin. Peredaran hormon, antibody, enzim dan lain-lain cecair tubuh sangat penting sampai kepada sasarannya bersama aliran darah yang lancar. Dan sebaliknya daripada sel atau organ tubuh darah juga berfungsi mengeluarkan bahan-bahan lebihan (by-product) supaya dapat dikumuhkan oleh sistem seperti gingal, paru-paru dan kulit. Peroses ini kadang-kadang dipanggil detoksifikasi (detoxification). Peroses ini sangat penting sebab by-product tubuh merupakan bahan toksid keracunan dan kalau tidak dikumuhkan oleh tubuh akan menjadi penyebab punca segala penyakit.

Adalah dianggarkan tenaga dalam badan akan digunakan antara 20-25% ketika aktiviti otot dilakukan (Elaine Marieb, 1998). Tenaga tersebut diambil daripada tisu-tisu lemak tersimpan dalam badan dan glukosa yang bebas dalam tubuh. Mungkin ini sebabnya kebanyakan pelari marathon tidak mempunyai badan yang ‘boroi’. Lagi pun apabila otot-otot badan digerakkan, perjalanan darah akan lebih cekap dan hasilnya akan dapat mengurangkan rasa keletihan dan ketidakselesaan tubuh. Ini juga akan meningkatkan aktiviti metabolisma tubuh bagi menambah dayatahan, kekuatan dan rintang (resistance) penyakit. Turut terlibat sama ialah peningkatan aktiviti perkumuhan, ia akan lebih baik berfungsi jika melakukan senaman.

Satu lagi faedah yang tersirat ialah untuk ‘kesihatan negara’ iaitu perpaduan nasional dan internasional kerana penyertaan marathon disertai oleh pelbagai kaum dan bangsa. Seseorang boleh bertukar pendapat atau maklumat tentang penjagaan kesihatan diantara peserta; bagaimana mengekalkan stamina, apa pemakanan yang baik dan bagaimana latihan patut dilakukan. Ia juga sebagai sumber tukar matawang asing dengan kedatangan ramai pelancong asing yang turut serta.

Kesihatan tubuh perlu diusahakan seperti juga kekayaan kebendaan perlukan usaha yang gigih dan berterusan. Tidak ada jalan singkat dan tiada ‘petua’ yang mujarab bagi mendapatkan tubuh yang sihat. Hanya kecekalan diri, usaha yang berterusan dan latihan yang bersistematik akan menjadikan seseorang itu sihat.


Tajaruddin bin Jasi
22, Jalan 3/76, Bandar Baru Bangi,
43650, Bangi, Selangor